1. Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah atau singkatan ‘NUNJI’ telah dilancarkan pada tahun 2015. Ia merupakan platform untuk membekalkan kefahaman Islam dan kenegaraan bersandarkan kepada Maqasid Syariah atau objektif besar Syariah. Kejayaan NUNJI ialah ia dapat melontarkan ide-ide baru tentang peranan Islam dalam kerangka kepelbagaian dan mencadangkan kepada orang ramai bagaimana keadilan, kebebasan dan kesaksamaan dapat diterjemahkan dalam konteks politik Malaysia.

2. Pada tahun ini NUNJI 2017 akan diadakan pada 5 Februari ini bertempat di Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, Shah Alam. Tema kali ini ialah “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa” yang akan melontarkan secara spesifik peranan Maqasid untuk membina dasar dalam pembentukan negara bangsa.

3. Kali ini NUNJI mendatangkan khas tokoh ilmuwan Islam yang terkenal iaitu Dr Jasser Audah dari Kanada. Tokoh ini terkenal dengan pandangan progresif tentang kerangka negara moden dan bagaimana peranan Syariah Islam di dalamnya. Beliau akan melontarkan ide “Negara Madani dan Referensi Islam Sebagai Prinsip”.

4. Turut ditampilkan ialah Prof Dato’ Dr Sidiq Fadhil Presiden Darul Hikmah dan Pengerusi IDE Selangor yang akan menyinggung isu Negara Bangsa dan bagaimana peranan Maqasid Syariah membentuknya. Selain itu tokoh ulamak muda Ustaz Wanji Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran As-Syatibi akan menyumbangkan satu tajuk tentang “Disiplin Maqasid Syariah”.

5. Sebagai melaksanakan salah satu resolusi NUNJI 2015 yang lalu, NUNJI kali ini turut melontarkan pengenalan awal kepada FIQH SIYASI MALAYSIA yang akan dibentangkan oleh Pengerusi NUNJI sendiri iaitu Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

6. Aturcara menarik kali ini ialah pelancaran prosiding NUNJI 2015 dan 3 buku kecil terbitan NUNJI bertajuk Islam dan Demokrasi, Fiqh Muwothonah dan Perlaksanaan Hudud dalam Bingkai Fiqh Awlawiyat akan disempurnakan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Awang Penasihat Umum AMANAH dan sekaligus merasmikan NUNJI 2017.

7. NUNJI akan terus menjadi wahana mencerdas minda ahli AMANAH khususnya dan masyarakat umumnya melalui penglibatan semua pihak dalam bidang kepakaran mereka. NUNJI juga terbuka untuk orang awam yang berminat. Penutup di sebelah petangnya akan disempurnakan oleh Presiden AMANAH Tuan Haji Mohamad Sabu.

AMANAH Demi Negara

DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
Pengerusi NUNJI
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Malaysia

16 Jan 2017